Susulan tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan sehingga kini.
Hasil tinjaun JURNAL di platfom media sosial, terdapat beberapa keping foto pasukan penyelamat mencuri perhatian.
Antara yang paling mencuri perhatian JURNAL, foto dikongsi BERNAMA yang memaparkan pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia lengkap berseragam terbaring keletihan.
Seribu satu makna di sebalik foto tersebut dan sudah tentu ia melambangkan tentang betapa besarnya pengorbanan mereka menjunjung tanggungjawab.
Sehingga saat ini, pasukan penyelamat masih bertungkus lumus mencari sembilan lagi mangsa yang dipercayai masih terperangkap di tapak tragedi.
Insiden sekitar 2.42 pagi Jumaat itu melibatkan runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengarahkan misi mencari dan menyelamat mangsa insiden dilakukan secara rapi dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan oleh pasukan penyelamat termasuk menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).
Setakat petang semalam, sembilan orang dipercayai masih hilang, manakala 24 mayat ditemukan terkorban daripada jumlah keseluruhan 94 mangsa yang terlibat dalam tragedi itu. – JURNAL