Siswa sebuah universiti di Melaka maut dipercayai terjatuh dari aras enam sebuah pangsapuri 18 tingkat di Bukit Beruang awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian 2.50 pagi itu penuntut berusia 20 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa datang untuk bertemu teman wanitanya yang juga rakan sepengajian di kediaman wanita itu sekitar jam 2 pagi.
“Si mati datang selepas teman wanitanya dikatakan tidak membalas mesej dihantarnya.
“Mereka dikatakan bertemu di koridor sebelum si mati meminta maaf kerana membuatkan kekasihnya itu cemburu.
“Namun ketika wanita itu masuk ke dalam rumah, tiba-tiba si mati dikatakan memanjat tembok koridor itu setinggi kira-kira empat kaki,” katanya kepada media.
Christopher berkata, wanita itu menyangkakan teman berkenaan hanya bergurau, tetapi terkejut melihat dia berpaut pada tembok dengan kedua-dua kaki berada di luar.
“Dia cuba menyelamatkan kekasihnya, bagaimanapun hanya sempat mencapai sebahagian tangan si mati sebelum mangsa terjatuh.
“Wanita itu kemudian segera menghubungi rakan sebilik kekasihnya untuk meminta bantuan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan pihak forensik mengesahkan tiada unsur jenayah dan khianat dalam kejadian itu.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO