Penceramah bebas, Dr Zakir Naik masih berada dalam keadaan selamat dan dilindungi kerajaan Oman selepas tiba di negara itu untuk menyampaikan ceramahnya semalam dan esok.
Mengesahkan perkara itu adalah peguam mewakilinya, Datuk Akberdin Abdul Kader yang memaklumkan Zakir Naik berada dalam keadaan selamat dan diberi layanan yang baik di Muscat, Oman.
Menurutnya, penceramah terbabit turut mengirimkan pesanan memaklumkan beliau selamat dan berada di hotel.
“Zakir juga memaklumkan, laporan mendakwa penahanannya sekadar berita rekaan.
“Malam tadi beliau sudah selesai menyampaikan ceramahnya dan satu lagi akan diadakan esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, selepas itu dia akan pulang semula ke Malaysia namun tidak dapat diperincikan perjalanan pulang itu demi keselamatannya.
Harian Metro semalam melaporkan penceramah bebas, Dr Zakir Naik yang menjadi buruan di India tiba di Muscat, Oman bagi menyampaikan ceramahnya selepas tarawih pada malam semalam dan esok.
Zakir Naik sebelum ini menetap di Malaysia selepas berdepan dakwaan mahkamah di India berhubung pengubahan wang haram, menyokong aktiviti keganasan dan mencetuskan ketegangan agama.
Malah kerajaan India juga menghantar permohonan rasmi bagi mengekstradisi penceramah kontroversi, Zakir Naik, pada Januari 2018. – JURNAL
Sumber: Harian Metro