Pemenang Piala Dunia 2014, Mesut Ozil mengumumkan persaraan daripada karier bola ketika usianya baru mencecah 34 tahun.
Ozil pernah memenangi Piala Dunia bersama Jerman merupakan bekas bintang Real Madrid sebelum menyertai Arsenal.
Berita persaraan tersebut dikongsi Ozil menerusi laman sosial Instagram (IG)nya pada Rabu.
“Selepas mempertimbangkannya, saya mengumumkan persaraan serta merta daripada bola sepak profesional.
“Saya berterima kasih atas peluang menjadi pemain profesional hampir 17 tahun. Tetapi sejak kebelakangan ini, dengan kecederaan yang saya alami, saya rasa sekarang masa yang sesuai untuk meninggalkan bola sepak.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kelab-kelab yang pernah saya wakili – Schalke 04, Werder Bremen, Real Madrid, Arsenal, Fenerbahce, Basaksehir – dan jurulatih serta rakan sepasukan yang banyak membantu saya.
“Terima kasih juga kepada penyokong yang sentiasa setia bersama saya dalam apa jua keadaan dan di kelab mana saya berada,” katanya.
Sementara itu, di ruangan komen ramai rakan-rakan seangkatan Ozil seperti Kaka, Jereme Boateng, Toni Kroos dan Paulo Dybala meninggalkan ucapan terima kasih buatnya.
Hantaran yang mendapat 3.3 juta tanda suka itu turut dibanjiri hampir 80 ribu komen daripada dengan peminat dari seluruh dunia.
Bersama Real, Ozil pernah memenangi gelaran La Liga (2011-2012) dan Piala Raja Sepanyol (2010-2011), di England dia membantu Arsenal merangkul Piala FA (2013-2020) dan Piala Komuniti (2015).
Bekas perancang utama itu juga pernah memenangi beberapa anugerah individu termasuk Anugerah Media Laures dan pemain terbaik Jerman pada tahun 2011, 2012, 2013, 2015 dan 2016. – JURNAL