Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menafikan beliau mengeluarkan arahan bagi menyekat pendakwah terkenal, Dr Ridhuan Tee Abdullah daripada muncul dalam Forum Perdana Ehwal Islam.
Memetik laporan BERNAMA, Fahmi berkata program tersebut bukan di bawah bidang kuasanya.
“Tidak”, katanya ringkas sambil menggelengkan kepada pihak media ketika hadir pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Menteri Komunikasi dan Digital di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pada Jumaat.
Semalam dilaporkan seorang daripada anggota panel program itu, Ridhuan telah diganti dengan pendakwah terkenal, Harryanto Rizal Rokman.
Sementara itu Kosmo! melaporkan, Ridhuan juga sebelum ini melahirkan rasa kesal apabila beliau disekat menjadi panel dalam program Forum Perdana Ehwal Islam terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Malah, Tokoh Maulidur Rasul dan Maal Hijrah itu juga menzahirkan rasa sedih apabila rancangan bual bicara popular setiap Khamis itu turut dibatalkan kerana ada penampilan dirinya.
Sebelum itu, tular tangkap layar kumpulan WhatsApp yang memaparkan Ridhuan memberitahu kumpulan tersebut bahawa Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang sepatutnya disiarkan pada 15 Disember dibatalkan. – JURNAL