Usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed diisytiharkan bankrap oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini.
Pengisytiharan bankrap itu diputuskan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Siti Zulaikha Nordin berikutan kegagalan Norjuma selaku penghutang penghakiman melunaskan tuntunan berjumlah RM260,400 yang dibuat oleh syarikat Fame Up Entertainment pada 2022.
Peguam bagi pihak Fame Up Entertainment, Muhammad Hassanuddin Roslan berkata, notis kebangkrapan itu difailkan pada 26 Oktober 2022.
“Mahkamah telah mengisytiharkan Norjuma bankrap, buat masa sekarang kami akan teruskan dengan failkan perintah mahkamah dan Jabatan Insolvensi akan teruskan dengan proses kebangkrapan.
“Tiada peguam bagi pihak Norjuma dan dia juga tidak hadir ke Mahkamah Tinggi pada hari ini. Notis telah diberikan kepada Norjuma, mahkamah juga telah keluarkan perintah namun dia tidak hadir,” katanya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, pada Selasa.
Turut hadir di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ialah pemilik syarikat Fame Up Entertainment, Zuriawati Zaidi.
Sebelum ini, syarikat Fame Up memfailkan Notis Bankrap di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap Norjuma.
Ini bagi menuntut Norjuma membayar RM260,400 selepas diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Selain itu, usaha untuk menahan Norjuma yang dikenakan waran tangkap oleh mahkamah gagal selepas dia tiada di kediamannya.
Untuk rekod, Fame Up Entertainment memfailkan dua saman fitnah terhadap Norjuma sejak 2019 dan 2020 berkaitan penyebaran fitnah usahawan itu pada syarikat berkenaan sekitar 2018 hingga 2020.
Menurut Muhammad Hassanuddin, prosedur untuk waran tangkap masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Kami masih berkomunikasi dengan pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mahkamah Tinggi Shah Alam serta balai-balai berkenaan.
Waran tangkap juga telah diserahkan kepada balai-balai berkenaan iaitu di Kuala Lumpur dan juga di Selangor,” katanya. – JURNAL
Sumber: KOSMO! ONLINE