Pemain badminton remaja Indonesia, Syabda Perkasa Belawa, 21, meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Pemalang, Jawa Tengah, pada awal pagi Isnin.
Tragedi yang berlaku sekitar pukul 3.40 pagi itu turut mengorbankan ibunya, Anik Sulistyowati, 48.
Kedua-dua beranak itu disahkan maut di tempat kejadian, sementara bapanya, Muanis Hadi Sutamti dan dua kakaknya, Diana Sakti Anistyawati serta Tahta Bathari Cahyaloka mengalami kecederaan.
Syabda dan keluarganya dilaporkan dalam perjalanan menuju ke kampung halaman di Sragen bagi menghadiri majlis pengebumian neneknya yang meninggal dunia pada Ahad malam.
Menurut laporan media tempatan, kereta dipandu bapanya dipandu laju sebelum merempuh sebuah trak berdekatan Plaza Tol Pemalang.
Polis mengesyaki, keletihan Muanis menjadi punca kemalangan itu berlaku.
Justeru, jenazah atlet berkenaan dan ibunya dikebumikan bersama-sama neneknya dalam satu liang lahad pada tengah hari Isnin di kampung tersebut.
Dalam kariernya, Syabda tersenarai antara pemain skuad Indonesia yang pernah menyertai Kejohanan Piala Thomas 2022 ketika menentang Korea Selatan.
Allahyarham juga meraih tiga kemenangan bagi kategori pemain perseorangan di kejohanan Lithuanian International 2022 dan Malaysia International 2022.
Susulan kejayaan berganda pada 2022, arwah terus cemerlang meningkatkan prestasinya sementelah muncul juara di kejohanan Iran International 2023.
Dia kini berada di kedudukan ke-135 dunia dalam senarai pemain badminton antarabangsa.
Sementara itu, Persatuan Badminton Indonesia (PBSI) menyifatkan pemergian atlet remaja terbabit sebagai satu kehilangan besar buat republik tersebut. – JURNAL