Peguam syarie mewakili Diana Danielle iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir menjelaskan, anak guamnya mempunyai hak menghalang suaminya Farid Kamil dari memasuki kediaman mereka selepas memfailkan cerai pada 10 Mac lalu.
Menurut Akberdin, anak guamnya yang menyewa kediaman tersebut dan mempunyai hak untuk membenarkan atau menghalang sesiapa saja daripada memasuki rumah berkenaan.
“Rumah itu disewa oleh anak guam kami, jadi dia ada hak untuk membenarkan sesiapa masuk atau tidak ke dalam rumah tersebut.
“Hubungan mereka juga memang sudah tidak baik, sebab itu anak guam saya ke mahkamah (memfailkan penceraian),” katanya.
Akberdin menjelaskan mengenai perkara tersebut susulan dakwaan Farid dihalang kembali ke rumah itu dan bertemu dengan anak-anak mereka.
Dalam pada itu, Akberdin berkata, Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang diperintahkan mahkamah akan digunakan bagi mencari jalan penyelesaian sebelum hasil perbincangan dikemukakan kepada mahkamah.
“Sekiranya JKP tidak dapat menemui jalan penyelesaian atau mendapati berlaku shiqaq, Mahkamah Syariah akan melantik hakam yang akan memberikan kata putus bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan berkenaan,” jelasnya.
Pada Isnin, dunia hiburan dikejutkan dengan berita Diana memfailkan penceraian terhadap Farid, 42, namun pelakon utama filem Anwar: The Untold Story itu enggan melafazakan talak terhadap isterinya kerana masih ada perasaan sayang.
Diana atau Diana Danielle Danny Benson, 32, memfailkan cerai tersebut pada Isnin mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor.
Diana dalam permohonannya menyatakan tiada persefahaman selain shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup sebagai suami isteri sebagai punca dia memfailkan penceraian terhadap Farid.
Pelakon filem Imaginur itu diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kadir manakala Farid diwakili Fakhrul Azman Abu Hassan.
Diana difahamkan melantik rakan rapatnya sebagai wakil manakala Farid belum memberi sebarang nama bagi pihaknya untuk proses itu.
Hakim Syarie, Shukran Yusof menetapkan 28 Mac ini untuk membolehkan Farid memaklumkan mahkamah wakil bagi pihaknya dalam JKP tersebut. – JURNAL
Sumber: mStar Online