Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menafikan kenyataan tentang cuaca akan lebih kering semasa fasa peralihan monsun (hujung bulan Mac)
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, dakwaan tersebut adalah kurang tepat.
“Semasa fasa peralihan monsun dari Timur Laut ke Barat Daya, lazimnya cuaca ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang lebih kerap berlaku pada sebelah petang, terutama di kawasan pedalaman dan Barat Semenanjung.
“Secara amnya, taburan hujan paling tinggi di barat Semenanjung, terutama di Lembah Klang berlaku semasa fasa peralihan monsun.
“Oleh itu, kenyataan bahawa cuaca akan lebih kering semasa fasa peralihan monsun adalah kurang tepat,” katanya.
Tambahnya, orang awam disarankan untuk sentiasa cakna dengan maklumat, ramalan dan amaran cuaca.
Pada 14 Mac lalu, Muhammad Helmi turut menjangkakan cuaca panas melanda semenanjung, terutama di bahagian utara, sehingga ke hari ini.
Semalam, suhu paling panas dicatatkan di di Alor Setar, Kedah dengan 36°C diikuti dengan Chuping, Perlis (35.8°C), Pulau Langkawi (35.6°C) dan Petaling Jaya, Selangor (35°C). – JURNAL
Sumber: KOSMO! ONLINE