Penghuni rumah anak yatim Raudhatul Al-Faeez berharap agar program bersama penyanyi dan pelakon Khai Bahar dapat membantu meringankan beban ditanggung mereka.
Sebelum ini, rumah kebajikan yang diasaskan oleh Zahrina Saat bertempat di Gombak, Selangor itu musnah dalam sebuah kebakaran.
Kini, penghuni rumah tersebut yang terdiri daripada anak yatim, yatim piatu, asnaf dan miskin itu ditempatkan di rumah teres Taman Lembah Keramat, Kuala Lumpur.
Susulan itu, XUTFILM Studio tampil menghulurkan bantuan dengan mengadakan majlis berbuka puasa bersama Khai Bahar untuk merealisasikan impian anak-anak di Raudhatul Al-Faeez supaya dapat kembali ke kediaman asal mereka.
Pengurus projek Shahriz Taher berkata, majlis tersebut bukan sahaja mahu meraikan anak-anak tersebut, dalam masa sama mahu menggalakkan orang ramai mengambil peluang yang sama.
“Tema kita ialah, jom kumpul pahala sambil berbuka dan berhibur kita kumpul pahala. Ambil peluang untuk meraikan mereka yang kurang bernasib baik.
“Untuk majlis berbuka puasa ini kami membuka jualan tiket secara individu atau meja. Untuk pembelian awal (early bird), jika beli satu meja dapat percuma untuk seorang,” katanya.
Bagaimanapun kata Shahriz, mereka tidak meletakkan sebarang sasaran untuk penjualan tersebut.
“Untuk berbuat amal, kami tidak meletakkan sasaran untuk berapa meja yang akan terjual kerana objektif kami hanya mahu meraikan anak-anak yatim dan asnaf ini.
“Tetapi jika jualan meja berjaya dihabiskan, ia adalah rezeki buat anak-anak ini 15 peratus hasil jualan tiket akan disalurkan ke tabung Raudhatul Al-Faeez.
“Sekurang-kurangnya kita harapkan, sumbangan tersebut dapat membantu mereka kembali ke kediaman yang lebih selesa.
“Suka juga untuk saya sarankan kepada mereka yang hadir nanti, jika mahu membuat sumbangan peribadi dialu-alukan dan boleh berurusan terus dengan Ummi (Zahrina),” katanya.
Sementara itu Zahrina ketika ditemui berkata, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk menyatakan persetujuan selepas dihubungi Shahriz.
“Selepas kebakaran, Shahriz hubungi saya dan bertanya dengan keadaan kami. Jadi, apabila beliau tawarkan untuk mengadakan program ini sebagai langkah untuk membantu, saya tidak tolak.
“Kerana bagi saya peluang ini tidak wajar ditolak dan sangat berterima kasih kepada beliau kerana sudi membantu anak-anak di sini.
“Saya harap dengan acara ini nanti, kami dapat menampung baki baik pulih kediaman sebanyak 20 peratus lagi dan anak-anak boleh berpindah ke tempat yang lebih selesa,” katanya.
Dalam pada itu, Khai Bahar pula berkata, dia sangat teruja menantikan majlis berbuka puasa bersama anak-anak Raudhatul Al-Faeez.
“Kami pernah bekerjasama pada tahun 2017. Saya harap peminat-peminat saya dapat support program ini dan saya percaya mereka akan.
“Saya juga berharap agar semuanya berjalan lancar dan niat kita nak kumpul pahala dipermudahkan,“ katanya.
Majlis berbuka puasa ini nanti akan diadakan di Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang pada 14 April 2023.
Selain Khai Bahar, majlis akan diserikan dengan kehadiran penghibur dari Singapura, Roslan Shah sebagai pengacara. – JURNAL