Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan ucapan setinggi-setinggi tahniah kepada Presiden Perancis Emmanuel Macron atas kejayaan pasukan bola sepak Perancis melayakkan diri perlawanan akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022.
Seri Paduka Baginda yang sedang dalam rangka lawatan khas ke Qatar selama enam hari bermula 13 Disember lalu.
Baginda juga berkenan berangkat menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022 lalu, antara Perancis dan Maghribi di Stadium Al Bayt, Doha yang menyaksikan perlawanan tersebut yang memihak kepada Perancis dengan keputusan 2-0.
Menerusi laman sosial Facebook, Istana Negara memaklumkan lawatan khas ke Qatar adalah atas persilaan peribadi Yang Mulia Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sempena temasya bola sepak Piala Dunia FIFA Qatar 2022.
Seri Paduka turut dijadualkan menerima menghadap beberapa pemimpin Kerajaan Qatar dan berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat Malaysia di Qatar dalam rangka lawatan khas ini.
Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat tiba di tanah air pada 19 Disember ini. – JURNAL