Tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian pergaduhan di sebuah restoran di Cyberjaya ditahan bagi membantu siasatan.
Kesemua suspek telah dibawa ke Balai polis Cyberjaya untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian tersebut 7.30 malam semalam.
Beliau berkata semua suspek berumur antara 50 dan 51 tahun yang ditahan mempunyai rekod jenayah antaranya seperti samun, pergaduhan dan dadah.
BACA: [V] Lelaki Pukul Pekerja Restoran Mamak, Buat Kecoh Dipercayai Mabuk
Katanya menerusi kenyataan, hasil siasatan mendapati ketiga–tiga suspek telah datang ke restoran tersebut untuk makan. Salah seorang daripada suspek telah pergi ke bahagian makanan dan telah menggunakan tangan untuk mengambil lauk.
“Perbuatan itu telah ditegur oleh pekerja restoran supaya tidak berbuat demikian.
“Akibat ditegur, suspek telah bertindak agresif dan mula memukul pekerja restoran, kemudian suspek lain turut mula memukul pekerja ini.
Salah seorang suspek telah menggunakan pengepit makanan besi untuk memukul pekerja pada bahagian kepala dan badannya”, katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 427 dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan tindakan menakut-nakutkan secara jenayah.
“Ujian urin terhadap kesemua suspek telah dibuat didapati negatif.
“Suspek pertama telah ditahan reman selama tiga hari sehingga 19/03/2023 untuk siasatan lanjut”, katanya.
Sementara itu, pengurusan Restoran Pelita memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.
“Dalam kejadian pada petang Khamis, tiga individu di bawah pengaruh alkohol memasuki restoran itu untuk menjamu selera dan mereka mahu mengambil makanan itu sendiri dengan menggunakan tangan”, kata pihak pengurusan Restoran Pelita dalam kenyataan.
“Bagaimanapun, kakitangannya tidak membenarkan pelanggan mengendalikan makanan sendiri,” menurut kenyataan itu.
“Ketiga-tiga individu itu mula bertindak menyerang kakitangan kami”, katanya. – JURNAL
Sumber: Berita RTM