TikTok akan diharamkan daripada telefon kerajaan United Kingdom (UK), seperti yamg dilaporkan media British pada Khamis.
Menteri Pejabat Kabinet Oliver Dowden akan berucap kepada Ahli Parlimen mengenai ‘keselamatan peranti kerajaan’, mengikut jadual parlimen.
Tiada pengesahan segera tetapi BBC dan Sky News melaporkan bahawa pengharaman aplikasi perkongsian video milik China akan berlaku.
The Sunday Times hujung minggu lalu melaporkan bahawa pakar keselamatan siber telah menasihatkan kerajaan untuk mengesyorkan penyingkiran itu.
TikTok dimiliki oleh ByteDance China dan telah lama menegaskan bahawa ia tidak menyimpan data di China atau berkongsi data dengan Beijing.
Larangan British terhadap aplikasi pada peranti rasmi akan mengikut jejak langkah di Kesatuan Eropah, serta di Amerika Syarikat.
Pegawai AS telah berkata bahawa jika TikTok berpisah dengan ByteDance ia akan mengelakkan larangan nasional yang lebih meluas.
Pada Khamis, kementerian luar di Beijing menyeru Washington untuk berhenti “menindas secara tidak munasabah” TikTok, yang mendakwa memiliki lebih daripada satu bilion pengguna global.
“AS setakat ini gagal mengemukakan bukti bahawa TikTok mengancam keselamatan negara AS,” kata jurucakap Wang Wenbin kepada pemberita.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri Rishi Sunak menutup mulut minggu ini apabila ditanya berulang kali mengenai kebimbangan keselamatan.
Pada lawatan ke Amerika Syarikat pada Isnin, Sunak berkata kerajaan mengambil ‘keselamatan peranti dengan serius.
“Kami juga melihat apa yang sekutu kami lakukan,” katanya. – JURNAL