Kelihatan cantik dan bergaya sudah menjadi kewajipan menjelang hari lebaran, apatah lagi jika memakai pakaian sedondon.
Tahun ini, apa kata dipakaikan sekali anak bulus dengan baju raya comel.
Berita baik buat pencinta kucing semua, DD Cat, jenama pakaian kucing memperkenalkan koleksi ‘Baju Raya Kucing DD Cat’ bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023.
Lebih menarik lagi koleksi Baju Raya Kucing DD Cat adalah jalinan kolaborasi DD Cat bersama artis tersohor Anna Jobling.
Kolaborasi DD Cat bersama Anna Jobling bukanlah bersandarkan populariti selebriti itu semata-mata, sebaliknya kerana sifat semula jadi Anna Jobling yang kasih, prihatin dan empati terhadap haiwan kesayangan Rasulullah SAW.
Ini juga selari dengan fokus utama DD Cat yang ingin mengajak orang ramai menyuburkan rasa kasih terhadap kucing peliharaan mereka, sepertimana mereka menyayangi ahli keluarga sendiri.
“Bagi saya sendiri, saya menganggap kucing-kucing saya bukan sekadar haiwan peliharaan semata-mata tetapi mereka adalah sebahagian daripada keluarga saya.
“Justeru, menyambut Syawal bukan sahaja saya yang mahu kelihatan cantik tetapi saya mahu kucing-kucing saya juga kelihatan cantik dan bergaya di pagi raya,” katanya.
Anna ditemui ketika majlis pelancaran yang berlangsung di Coo&RIKU Lalaport Pet Shop, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Dalam pada itu, Anna yang memelihara pelbagai jenis haiwan berharap projek ini akan menyuburkan rasa kasih masyarakat terhadap haiwan itu tanpa membezakan sama ada ia kucing jalanan atau peliharaan.
“Anna memang sangat terharu bila dapat tahu boleh berkolaborasi dengan DD Cat untuk projek istimewa mereka ini.
“Untuk yang tak tahu Anna ada banyak kucing dan yang paling Anna sayang bernama Leona dan Jupiter. Istimewanya juga sempena kedatangan bulan penuh rahmat ini..marilah kita membantu kucing-kucing jalanan dengan setiap pembelian anda,” katanya.
Tambah Anna, pelbagai koleksi Aidilfitri buat si ‘comel’ sudah mula dijual antaranya fesyen baju Melayu, kebaya, kurung serta kurta.
Lebih istimewa setiap pembelian koleksi lebaran buat haiwan kesayangan Rasullullah SAW ini, sebahagiannya turut disumbangkan kepada pusat perlindungan serta ‘Unsung Heroes’ terpilih yang melindungi haiwan berkenaan.
Inisiatif membeli sambil beramal ini dilakukan DD Cat.
Menurut Pengasas Bersamanya, Shawn Amer kurangnya kesedaran masyarakat terhadap usaha membela nasib kucing jalanan membuatkan pihaknya tampil dengan idea berkenaan.
“Selain daripada koleksi yang kita lancarkan hari ini, sebenarnya kita nak beri kesedaran kepada masyarakat untuk sama-sama membantu rumah-rumah penjagaan kucing termasuk mereka yang melakukan insiatif sendiri untuk membela haiwan ini…inilah ‘Unsung Hereos’ yang masyarakat tak nampak…mereka sanggup keluarkan duit sendiri demi untuk membantu kucing jalanan dan terbiar,” katanya.
Beliau berharap sumbangan itu akan membantu kucing-kucing terbiar yang mengalami pelbagai masalah kesihatan serta memerlukan pembelaan sewajarnya.
Bagi yang ingin beramal, koleksi ini tampil dengan enam warna menarik serta menggunakan fabrik berkualiti tinggi termasuk songket bunga penuh dan seni halus batik.
Selain menjamin keselesaan kucing kesayangan anda. – JURNAL