Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam satu ciapan mengecam perbuatan individu yang menyimbah asid dan cat pada kenderaan pengarah dan penulis skrip filem kontroversi Mentega Terbang.
“Saya kecam sekeras-kerasnya ugutan-ugutan ini serta sebarang tindakan di luar batas undang-undang.
“Rakyat Malaysia mesti patuh undang-undang, jangan ambil tindakan yang boleh merosakkan harta benda, mengancam nyawa.
“Follow the law, don’t take matters into your own hands (Ikut undang-undang, jangan ambil tindakan sendiri),” katanya.
Pada Rabu, tular beberapa keping foto kenderaan milik Khairi Anwar Jailani dan Arjun Thanaraju dilaporkan disimbah cat dan asid.
Foto tersebut telah dikongsi wartawan SCMP, Amer Hadi Azmi di akaun Twitternya.
Turut tular bersama gambar tersebut ialah gambar lima keping nota ugutan bunuh yang bertulis ‘Lu dengan family mesti mati’ dan nota amaran ‘Mentega Terbang jangan cabar agama Islam’ serta ‘Ingat Family Mentega Terbang’.
Turut kelihatan dalam ciapan itu kereta Proton Saga berwarna merah dan Toyota Vios berwarna putih dengan kesan simbahan asid dan cat.
Peguam mewakili Khairi Anwar dan Arjun, Zaid Malek berkata kejadian itu disedari pada awal pagi tadi dan di kediaman masing-masing.
Zaid berkata, kedua-dua anak guamnya sudah pun membuat laporan di balai polis Kajang dan Ampang.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan mengesahkan dua laporan polis diterima, masing-masing satu di Kajang dan satu di Ampang.
“Kenderaan milik kedua-dua mangsa dilaporkan disimbah cat dan mereka turut menerima beberapa nota berbaur ugutan.
“Kejadian dipercayai berlaku antara jam 3 hingga pagi tadi, dan ia hanya disedari mangsa pada awal pagi. Kedua-duanya mangsa kemudian tampil membuat laporan polis kira-kira jam 8 pagi,” katanya.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu merosakkan harta benda dan Seksyen 507 kanun sama iaitu ugutan bunuh.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen mengecam perbuatan itu yang dianggap hanya akan memburukkan imej Islam dan melabel perbuatan itu sebagai ektremis.
Mereka turut menggesa pihak berkuasa segera melakukan siasatan dan menangkap individu yang melakukan perbuatan itu. – JURNAL