Pelaksanaan sesi persekolahan bermula bulan Januari yang diamalkan sebelum negara berdepan Covid-19 dilihat akan mengambil masa beberapa tahun lagi sebelum dilaksanakan semula.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, langkah itu bukan mudah untuk dilaksanakan dalam tempoh singkat kerana ia memerlukan pengorbanan semua pihak termasuk cuti persekolahan.
Menurutnya, jumlah hari persekolahan juga tidak boleh kurang daripada 190 hari sebagaimana ditetapkan dalam Akta Pendidikan 1996.
“Jika mahu dikembalikan dengan cepat perlu mengorbankan cuti yang ada, tapi kalau sekolah tidak ada cuti, maka tidak ada waktu rehat bagi guru, pelajar bersama ibu bapa selain berkemungkinan memberi kesan kepada ekonomi yang saling berkait rapat.
“Kita perlu kekalkan 190 hari. Jadi, kena anjakkan sedikit demi sedikit, mungkin potong di mana-mana dan anjak berapa banyak (hari).
“Ia bukan satu perkara yang boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat dan akan mengambil masa beberapa tahun dengan pengorbanan semua pihak,” katanya.
Pkharuddin berkata, permulaan sesi persekolahan pada Mac ketika ini boleh dilihat dari sudut positif apabila tempoh pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat dielakkan daripada dijalankan pada monsun timur laut.
Bagaimanapun, katanya, situasi cuaca semasa tidak boleh dijangkakan berikutan perubahan iklim dunia dan ada ketika banjir tetap berlaku pada musim peperiksaan.
“Tetapi kita sudah cuba sebaik mungkin untuk memberi keselesaan terbaik kepada semua pihak.
“Ada pihak perlukan perkara lebih selesa untuk anak semasa hujung tahun adalah tempoh sesuai untuk mereka pergi melancong.
Bagaimanapun, perkara ini jadi pertimbangan apabila mengadakan takwim setiap tahun,” katanya. – JURNAL
Sumber: KOSMO! ONLINE