Masalah penyakit mental bukan lagi hal tabu dalam kalangan masyarakat dunia. Malah Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan, lebih 1 bilion penduduk dunia berdepan masalah tersebut pada tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memetik kenyataan dikeluarkannya baru-baru ini mendedahkan, Wilayah Persekutuan merupakan negeri paling ramai penduduknya mengalami masalah Anxiety dengan bilangan 336,900 orang dikesan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan rekod saringan.
Mengambil langkah berani dan mahu memberi kesedaran tentang penyakit ini, bekas wartawan hiburan, Maliah Surip membogelkan kisah penderitaan dan perjalanan selepas didiagnos menghidap General Anxiety Disorder (GAD) dan major depressive disorder (MDD) atau kemurungan teruk sejak tahun 2019.
Menerusi buku perdana tulisannya, Senandika: Bercakap Seorang Diri, penulis antara lain menceritakan pengalaman sendiri yang tidak pernah sedar telah diserang penyakit mental, melakukan diagnos sehingga perlu mendapatkan rawatan berkala dan memakan ubat pada setiap hari sehingga kini.
“Objektif utama kelahiran buku ini adalah untuk meningkatkan kesedaran bukan sahaja dalam kalangan pesakit, tetapi juga orang terdekat dan masyarakat.
“Ini kerana, semua pihak seharusnya memainkan peranan masing-masing tanpa menghakimi atau menilai sekaligus sama-sama membantu penderitanya pulih.
“Buku ini juga saya jadikan semangat jika setiap kali berasa ‘pulang’ ke titik terendah, kena ingatkan diri bahawa ada pencapaian yang telah dilakukan sepanjang bergelut dengan penyakit ini,” katanya lagi,” ujar Maliah.
Menariknya menurut Maliah, biarpun Senandika: Bercakap Seorang Diri berkisar tentang kesakitan, namun ia tidak ditulis dalam penyampaian yang ‘menyayat hati’.
“Sebaliknya, banyak disulami dengan gaya penulisan ‘nakal’, lucu supaya ia dapat membina keyakinan bahawa penyakit ini boleh pulih.
“Selain bercerita tentang perjalanan sendiri melawan penyakit ini, saya juga selitkan pengalaman bersemuka dengan pesakit mental lain yang lebih sengsara.
“Buku ini penting kerana akan memberi kesedaran buat masyarakat untuk sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling,” tambah wanita berusia 42 tahun ini lagi.
Maliah berkata demikian sewaktu ditemui pada majlis pelancaran buku tersebut yang berlangsung di DXN Cyberville, Cyberjaya, semalam.
Tambahnya lagi, naskhah pertama tulisannya itu diilhamkan selepas melihat ada dalam kalangan pesakit yang tidak mahu memperakui diri mereka sedang sakit, bahkan enggan mendapatkan rawatan sewajarnya, sekaligus memudaratkan diri masing-masing. – JURNAL