Tindakan berani seorang mangsa tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Genting Highland mendapat pujian warganet.
Menerusi perkongsian wartawan Astro Awani, Fareez Azman di laman Twitter, mangsa lelaki berbangsa Tiong Hua menceritakan detik cemas ketika mahu menyelamatkan seorang wanita.
Menurut lelaki itu, wanita tersebut merayu supaya dia menyelamatkan bayinya terlebih dahulu.
“Tolong, jangan selamatkan saya, selamatkan bayi saya dulu,” rayu wanita tersebut kepadanya.
Menurut lelaki yang digelar ‘the unsung hero’ oleh Fareez Azman itu, dia bertindak mengorek timbunan tanah selepas ternampak kanak-kanak berusia dalam lingkungan tiga tahun terperangkap di sana.
“Kita nampak budak dalam usia tiga tahun di situ dan kita korek tanah keluarkan dia, tak ada masalah. Mujur dia dapat diselamatkan,” katanya.
Di ruangan komen, rata-rata warga maya kagum dengan keberanian lelaki berkenaan yang sanggup berdepan risiko demi menyelamatkan nyawa orang lain. – JURNAL