Pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia menjadi atlet sukan pertama Malaysia yang wajahnya menghiasi papan iklan gergasi digital di Times Square, New York, Amerika Syarikat.
Pemain nombor empat dunia itu turut disertai beberapa pemain lain iaitu Anders Antonsen (Denmark), Tai Tzu Ying (Taiwan), Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan (Indonesia) dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti (Indonesia).
Kesemua pemain berkenaan termasuk Zii Jia adalah duta kepada syarikat peralatan sukan dari Taiwan, Victor.
Menerusi hantaran di Facebook Victor, semalam, syarikat itu memberitahu paparan itu bersempena ulang tahun ke-55 Victor selain ia juga untuk mempromosikan sukan badminton kepada seluruh dunia.
“Paparan di Time Square menunjukkan ia bukan sekadar untuk menyambut ulang tahun Victor ke-55. Ia juga bertujuan untuk mempromosikan sukan badminton di mata dunia.
“Sertai Victor untuk mengatasi cabaran dan sentiasa bersedia untuk menang sama ada dalam atau luar gelanggang dengan semangat ‘Ready to Win’,” katanya.
Selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Januari tahun lalu, Zii Jia menandatangani kontrak penajaan bersama Victor namun tidak didedahkan mengenai jumlah bayaran yang diterimanya dan tempoh dengan syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, dia didakwa ditawarkan bayaran sebanyak AS$400,000 (RM1.725 juta) setahun dengan tempoh kontrak selama tujuh tahun dengan nilai keseluruhan RM12.075 juta. – JURNAL