Sembilan tahun lalu, pada 8 Mac 2014 kira-kira jam 12.41 tengah malam, pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 dilihat kali terakhir berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, China.
Pada jam 1.09 pagi, “Good night, Malaysian three-seven-zero” menjadi mesej terakhir daripada kokpit pesawat tersebut sebelum ia hilang dari radar.
Ia gagal dihubungi selepas tidak sampai sejam berlepas, membawa bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal.
153 daripada penumpangnya adalah warga China sementara 50 orang adalah warga Malaysia termasuk anak kapal. Penumpang selebihnya adalah daripada 12 negara berbeza antaranya Indonesia, Australia, India, Perancis & A.S.
Sejam selepas waktu sepatutnya ia mendarat di ibu kota China tersebut iaitu pada jam 6.30 pagi waktu tempatan, syarikat penerbangan Malaysia Airlines mengisytiharkan bahawa pesawatnya itu telah hilang dan gagal dikesan.
Sebelum kehilangannya, pesawat tersebut menjalani penerbangan yang normal dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda mencurigakan, tiada isyarat kecemasan, cuaca buruk mahupun kepincangan teknikal.
Pada 24 Mac, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dengan rasminya mengisytiharkan bahawa pesawat tersebut dipercayai hilang di sekitar Lautan Hindi dan tiada seorang pun yang terselamat.
Sepanjang 2015 dan 2016, beberapa penemuan serpihan badan pesawat ditemui di pesisiran pantai barat Lautan Hindi, namun tidak satu pun yang akhirnya sah dan tulen daripada pesawat malang tersebut.
Segala kajian, penemuan dan teori daripada pakar-pakar penerbangan dan bidang berkaitan, tiada satu pun yang dapat menjawab pelbagai persoalan yang berbangkit untuk menjelaskan misteri kehilangan MH370 sehingga hari ini. – JURNAL
Sumber: Astro AWANI