Menerusi rancangan Dengar yang ditayangkan di TV AlHijrah, seorang gadis bernama Emy (bukan nama sebenar), mendedahkan kisah hitamnya dinodai ayah kandung sendiri.
Masih kecil sekitar umur memasuki usia 4 tahun, Emy dengan berat hati menceritakan pengalaman pahit tersebut yang terpaksa ditempuhi sekian lama.
Namun, memandangkan belum mengerti apa-apa di waktu itu, gadis tersebut hanya mendiamkan diri sehinggalah di peringkat sekolah rendah, baru dia mengetahui perbuatan si bapa adalah satu kesalahan besar.
Dek kerana acapkali dijadikan sasaran kerakusan nafsu bapa sendiri, tidak disangka-sangka, Emy kemudiannya ketagih melakukan perhubungan badan.
Di fikiran Emy saat itu mengatakan, “Apa salahnya aku teruskan saja sedangkan aku memang sudah ‘rosak’.
Memaklumkan ayahnya dulu merupakan seorang bilal di kampung yang cukup disegani, tetapi pemergiannya ke rahmatullah bagaikan satu berita gembira buat Emy yang merasakan doanya kepada Allah akhirnya dimakbulkan.
Lebih menyedihkan, Emy pernah cuba menamatkan riwayatnya sendiri sementelah merasakan diri tidak lagi berguna.
Bahkan di mindanya sering tertanya-tanya, benarkah dia betul-betul anak kandung kepada si ‘haruan’ yang tergamak melaknat perintah Allah dengan menodainya berulang kali.
Di penghujung program tersebut, Emy turut menyuarakan kebimbangan untuk berumah tangga kerana impak kejadian dialaminya, dia cukup sukar untuk mempercayai individu bernama lelaki. – JURNAL
Sumber: YouTube Raudhatus Sakinah