Polis Diraja Malaysia telah merakam percakapan pengarah serta seorang pelakon filem Mentega Terbang iaitu, Khairi Anwar dan Arjun Thanaraju di Bukit Aman, pada pagi Jumaat.
Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Saaduddin berkata siasatan itu dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
“Rakaman percakapan ke atas penerbit filem itu pula akan dirakam pada 14 Mac depan,” menurutnya dalam sebuah kenyataan.
Sementara itu, Khairi berkata pihaknya telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.
“Kami memberikan kerjasama sepenuhnya dan menjawab semua soalan diajukan polis,” katanya.
Beliau berkata, pembikin filem harus diberikan kebebasan untuk menonjolkan kreativiti mereka.
“Tugas kami sebagai pembikin filem adalah untuk mengetengahkan isu semasa, dan kebebasan bersuara kami tidak seharusnya dikawal,” katanya.
Peguam Zaid Malek mewakili Khairi dan Arjun berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan suasana tidak harmoni, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.
Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain. – JURNAL
Sumber: BERNAMA, Harian Metro