Pengasas kosmetik, Datuk Seri Vida dituntut agar membayar kerugian dianggarkan berjumlah RM59 juta kepada 41 pelabur yang melabur dalam syarikat pelaburan mata wang kripto miliknya iaitu Lavida Coin.
Kesemuanya membuat tuntutan ganti rugi tersebut selepas mendakwa wang pelaburan serta keuntungan yang dijanjikan sejak 2018 tidak dipulangkan kepada mereka sehingga kini.
Justeru, mereka telah memfailkan writ saman terhadap Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman serta tiga rakan kongsinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Peguam yang mewakili kesemua 41 pelabur terbabit, Mohammad Izwan Azmi dari Tetuan Izwan Mazniza Kamil & Associates berkata, writ saman berserta penyataan tuntutan telah diserahkan kepada Vida selaku defendan pertama di Empire Beauty DSV, Angsana Mall Ipoh, Perak pada 22 Disember 2022.
“Pada 2018, mereka telah membuat pemindahan wang ke akaun bank beberapa syarikat milik Vida.
“Dakwa Vida, Lavida Coin adalah sah dari segi undang-undang serta memiliki kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM), Bank Negara dan beberapa agensi lain,” jelas Izwan.
Sementara itu, tiga defendan lain yang dinamakan dalam tuntutan itu ialah Shuhada Abd Aziz, Mohd Kamarul Azmi dan Noordin Sahlam.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 20 Mac ini untuk memaklumkan status kes terkini, selain memfailkan permohonan taksiran kos oleh pihak mahkamah. – JURNAL