Setelah mencipta rekod di Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai “Longest Non-Stop Festival” selama 75 jam tanpa henti, Starvendors akan mencatat nama pula di “Guinness World Book Of Records” memecahkan rekod dunia Festival Raya 100 jam tanpa henti.
Pengarah Urusan dan Pengasas Star Vendors Event Sdn Bhd juga artis versatil popular, Dato Saripah Raziah atau Ifa Raziah berkata, mereka kini dalam proses untuk merealisasikan perkara tersebut.
“Proses untuk menjadikan Starvendors tercatat dalam rekod dunia sedang dalam proses perbincangan dan hampir menjadi kenyataan.
“Kita berharap semua urusan berjalan lancar dan impian Starvendors menjadi kenyataan,” katanya.
Ifa Raziah ditemui JURNAL ketika majlis sidang media Star Vendors KLCC Mega Raya Fest 2023 yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre pada Khamis.
Starvendors KLCC Mega Raya Fest 2023 bakal berlangsung pada 13 hingga 17 April ini di lokasi berprestij iaitu Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLConvec), selama 100 jam tanpa henti.
Ifa Raziah berkata, matlamat penganjuran kali ini adalah untuk memberi platform yang eksklusif kepada usahawan tempatan dan selebriti tanah air untuk berniaga.
Pada tahun lepas 2022, Starvendors telah mengumpulkan lebih 350 usahawan dan 50 selebriti dan menerima pengunjung seramai 2.6 juta orang pengunjung.
“Jika tahun lalu Starvendors berjaya meraih RM800 juta transaksi urusniaga selama 75 jam ia berlangsung, saya berharap penganjuran kali ini di ‘rumah baru’ kami, kutipan akan sukses juga.
“Tambahan lagi kali ini masa urus niaga juga lebih panjang dan kami juga sentiasa memberikan yang terbaik dan sentiasa menjadi pilihan nombor satu vendor-vendor di Malaysia,” katanya.
Tambah Ifa Raziah lagi, pada tahun ini Starvendors turut menawarkan sebuah Kereta Mitsubishi Xpander untuk dimenangi dalam cabutan bertuah tuah yang akan diadakan kelak.
Menarik lagi acara ‘Sakau Duit’ juga bakal menjadi tarikan utama acara Starvendors pada tahun ini.
Selain dari memberi peluang pada usahawan tempatan, Starvendors KLCC Mega Raya Fest 2023 bakal menyaksikan pembabitan 100 artis terkenal tanah air yang turut membuka ‘booth’ dan menjual rangkaian produk mereka sendiri.
“Seterusnya, kami sungguh bebesar hati menjadi pilihan eksklusif oleh pihak Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KL Convec) untuk mengadakan Festival Raya tahun ini,” katanya lagi.
Festival ini akan menampilkan lebih ramai vendor baru dan lama dengan jualan berbagai produk persiapan raya disamping produk-produk tempatan dan bumiputra yang lain termasuk rangkain emas. – JURNAL