Saya dipukul setengah mati saya maafkan kerana itu soal peribadi, tapi wang dicuri berbilion-bilion, saya tiada kuasa maafkan,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau masih boleh memaafkan individu yang memukulnya sewaktu dalam tahanan penjara, bagaimanapun tidak akan sesekali berkompromi dengan mereka yang bertindak mencuri wang negara berbilion ringgit.
Anwar berkata, beliau tidak akan menggunakan kuasanya untuk memaafkan mereka yang terbabit mencuri hasil negara.
“Saya tak berhajat untuk mengorek dan mencungkil semua kelemahan-kelemahan lalu, melainkan kalau ia membabitkan dana yang banyak yang mesti dipulangkan kepada negara,” katanya ketika ucaptama Sesi Interaksi Perdana Menteri bersama Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia secara maya sempena Sesi Pemukiman Wisma Putra pada Selasa.
Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Perdana Menteri berkata, wang dicuri adalah hak rakyat dan ia menjadi tugas badan berkuasa negara untuk mengembalikannya supaya dana boleh digunakan untuk manfaat rakyat.
“Ini hak rakyat dan mestilah kembalikan wang itu kepada negara supaya negara boleh diselamatkan.
“Sekolah daif boleh diperbaiki, tandas sekolah anak-anak perlu diperbaiki, klinik-klinik diperbaiki, nasib orang yang ditimpa kemalangan dan wabak COVID-19 serta sekarang ini banjir, semua dapat di bantu,” katanya.
Beliau berkata, untuk membawa perubahan kepada negara termasuk bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.
“Saya ingin tegaskan ini bukan sesuatu yang mudah kerana kita berdepan dengan kekuatan yang akan menghalang perubahan.
“Kumpulan elit politik yang selesa dan senang dengan kuasa mereka, cara rasuah mereka dengan menyorok, mereka tak mahu lakukan perubahan,” katanya. – JURNAL
Sumber: BHOnline