Penceramah bebas, Mohamad Wadi Annuar memaklumkan bahawa dua ceramah anjurannya pada 10 dan 11 Mac ini di sekitar Selangor dibatalkan.
Dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar, beliau menjelaskan bahawa pembatalan itu melibatkan lokasi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjung Karang, Selangor.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan sebab pembatalan ceramah berkenaan.
“Dimaklumkan bahawa semua ceramah al-Fadhil Ustaz Wadi Annuar bertempat di Negeri Selangor telah dibatalkan.
“Manakala ceramah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan dijalankan seperti biasa. Segala kesulitan amat dikesali,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Sebelum ini, kuliah maghrib penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang dijadualkanp ada 26 Februari di Masjid Tengku Ampuan Bukit Jelutong juga dibatalkan.
Menurut Facebook rasminya, Kuliah Maghrib Perdana UAI itu terpaksa dibatalkan atas kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
JAIS kemudiannya mengesahkan UAI tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama Islam di negeri ini.