Persatuan peruncit-peruncit utama tempatan secara kolektif menggesa kerajaan memikirkan semula dan menarik balik cadangan bagi mengenakan Cukai Barangan Mewah.
Ini kerana, menurut kenyataan dikeluarkan semalam, tindakan itu mungkin menyebabkan harga di Malaysia tidak kompetitif dan berkemungkinan menjejaskan kemasukan pelancong.
Selain itu, ia akan menjadi penyebab rakyat Malaysia lebih berminat untuk membeli di luar negara, sekali gus menyebabkan berlakunya pengaliran wang keluar.
“Ini adalah cadangan yang merugikan. Kehilangan pelancong asing dan rakyat akan hilang minat untuk membeli di Malaysia, selain kehilangan mata wang akibat pertukaran asing.
“Walaupun mekanisme boleh direka untuk pelancong asing menuntut balik cukai barangan mewah itu, rakyat Malaysia pula sebaliknya akan tertarik untuk membeli-belah di luar negara,” memetik kenyataan itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama oleh Persatuan Pusat Beli-belah Malaysia, Persatuan Pelancongan BBKLCC Kuala Lumpur, Persatuan Peruncit Jalan Batu, Pertubuhan Peruncit Bumiputra, Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia, Industries Unite, Persatuan Peruncit Malaysia dan Persatuan Rantaian Runcit Malaysia.
Mereka mengatakan, hanya produk mewah yang harganya sangat mahal sepatutnya mencukupi untuk memenuhi kriteria (cukai barangan mewah) jika falsafah ekonomi adalah untuk mengenakan cukai kepada orang kaya.
“Barang-barang besar seperti kereta mewah, motosikal lumba, kapal layar dan kapal terbang boleh dipertimbangkan,” katanya.
Tambah mereka, pendekatan holistik harus diambil yang akan mengimbangi antara risiko dan ganjaran serta kesan pengganda melalui aktiviti perniagaan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Terdahulu, dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencadangkan untuk memperkenalkan cukai barangan mewah mulai tahun ini dengan nilai tertentu terhad kepada jenis barangan, termasuk jam tangan serta produk fesyen bagi meningkatkan hasil negara. – JURNAL