Menteri Belia Dan Sukan Hannah Yeoh tidak ambil hati apabila fotonya ketika membuat lawatan ke Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini disunting netizen.
Malah, Hannah telah berkongsi beberapa foto yang dianggap paling kreatif menerusi hantaran di laman sosial Twitter beliau.
Menerusi ciapan sama Hannah berkata, beliau bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim turun padang untuk mendengar taklimat daripada dua agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menurut Hannah, dia berpeluang untuk melihat keadaan padang di sana dan turut akan berusaha untuk menambah baik kualiti padang dengan teliti.
“Belia Malaysia ni sangat kreatif buat memes gambar saya dan @AdamAdli melawat Stadium Nasional Bukit Jalil meneliti keadaan padang di sana. Tak apa kami sporting, kreativiti luar biasa,” ciapnya.
Sementara itu Adam Adli, juga sempat mengulang kicau ciapan Hannah dengan meninggalkan emoji ketawa.
Di ruangan komen, rata-rata mengharapkan Adam dapat menjalankan tugas dengan baik dan menaik taraf kualiti sukan bola sepak negara. – JURNAL