Suri rumah yang maut ditembak suaminya yang juga anggota polis di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Perlis iaitu Safsufarnisya Salleh, 26, disahkan hamil lima bulan.
Hal tersebut didedahkan ibu mangsa, Che Mas Taha, 63, yang menyatakan anak bongsu daripada empat beradik itu sedang menanti untuk menyambut kelahiran anak pertamanya selepas berkahwin dengan suspek selama dua tahun.
BACA: Sebaik Pulang Dari Kerja, Anggota Polis Tembak Kepala Isteri Dengan Lima Das Tembakan
“Memang anak saya tengah mengandung (hamil) lima bulan ketika dia meninggal kelmarin.
“Malah, kami tidak sangka perkara ini boleh terjadi kerana menantu (suspek) seorang yang sangat baik sehinggakan kami anggapnya sebagai anak sendiri.
“Jadi, kehilangan Safsufarnisya sukar untuk saya terima terutama dalam kejadian seperti ini,” katanya.
Akuinya, menantunya yang berasal dari Setiu, Terengganu adalah seorang yang ringan tulang dan gemar membantu keluarga kerana sering memastikan barangan keperluan di rumah sentiasa mencukupi.
“Dia tidak pernah berkira dan kalau dia pulang ke rumah ini, dia pasti akan membawa banyak makanan.
BACA: Lans Koperal Tembak Isteri Direman Tujuh Hari, Bakal Menjalani Pemeriksaan Psikiatri
“Paling mengharukan, menantu makcik ini selalu bawa kami termasuk arwah keluar bersiar-siar sekiranya berkelapangan.
“Tapi nak buat macam mana lagi, perkara sudah jadi dan tidak boleh buat apa-apa lagi sekarang,” katanya.
Terdahulu, Allahyarham berkahwin dengan suspek selepas bertemu ketika menjalani latihan praktikal dalam bidang pengurusan forensik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis beberapa tahun lalu.
Jenazah Safsufarnisya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Simpang Empat sebaik proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO