Reaksi spontan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika diusik penyampai radio Hot FM, Johan, pagi tadi mengenai perlawanan Manchester United dan Liverpool mencuit hati pendengar.
Dalam perlawanan awal pagi tadi Liverpool membenam Red Devil di Anfield 7-0 dan sudah tentu ia menjadi topik terhangat untuk dibincangkan pada hari ini.
Mengetahui Khairy Jamaluddin atau KJ merupakan penyokong tegar Manchester United, beliau juga tidak terlepas daripada menjadi ‘bahan’ rakan penyampainya di Hot FM.
“Lepas nombor 6, terus nombor 6A dan 8. Panas lah,” kata Johan.
KJ kemudiaannya secara spontan menjawab kepada Johan, malam tadi tidak ada apa-apa perlawanan yang berlangsung.
“Ada game (perlawanan) ke malam tadi? Rasa macam tak ada game pun semalam,” katanya disambut gelak tawa Johan, AG dan Fafau.
Dalam pada itu, sempena sambutan Hari Wanita Sedunia, KJ sempat menitip pesanan untuk kaum lelaki.
Kata KJ, semua lelaki seharusnya menjadi rakan kongsi yang berkesan sekali gus menjadikan wanita lebih hebat.
Tambah beliau lagi lelaki juga harus memberikan hak dan keupayaan serta peluang kepada golongan wanita sebagai sokongan dalam mengangkat mereka.
“Sempena Hari Wanita tahun ini, saya ada mesej bukan untuk wanita tetapi untuk lelaki. Sebab kesaksamaan gender ini untuk kita memberi hak kepada wanita bukan perjuangan wanita sahaja.
“Kalau kita jadi majikan kita bagi peluang yang sama kepada wanita. Beri gaji yang sama kepada wanita dan juga kemudahan yang terbaik kepada wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Hari Wanita Sedunia 2023 dalam segmen Bekpes Hot di stesen Hot FM pukul 8 pagi tadi.
Segmen Bekpes Hot hari ini turut disertai tetamu undangan iaitu Kapten Pasukan Bola Sepak Wanita Kebangsaan, Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh. – JURNAL