KUALA LUMPUR: Perkhidmatan keseluruhan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya dari Kwasa Damansara hingga Putrajaya Sentral akan beroperasi pada 16 Mac ini.
MRT Corp dalam satu kenyataan ringkas dalam Facebook berkata, perkhidmatan keseluruhan laluan berkenaan akan bermula jam 3 petang pada hari itu.
“Saat yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Keseluruhan Laluan Putrajaya dari Kawasan Damansara sehingga Putrajaya Sentral akan beroperasi dari jam 3 petang, 16 Mac 2023,” katanya.
Berita terkini setiap pagiDapatkan Berita Pilihan
Berita Harian dalam e-mel anda
Projek MRT laluan Putrajaya yang menelan belanja RM30.53 bilion untuk kos pembinaan dan kos sistem meliputi 36 stesen membabitkan 49 set kereta api.
Jumlah penumpang harian bagi perkhidmatan MRT laluan Putrajaya dijangka mampu mencecah kira-kira 200,000 dalam masa dua tahun.
Pada permulaan apabila ia mula beroperasi nanti akan dimulakan dengan frekuensi lima minit untuk setiap tren.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata tarikh itu diputuskan selepas mesyuarat pasca Kabinet bersama MRT Corp, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), pada Jumaat.
Katanya, taklimat mengenai ujian percubaan operasi MRT Laluan Putrajaya Fasa 2 menunjukkan perkembangan positif dan kementerian berpuas hati dengan semua ujian yang telah dijalankan.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan merasmikan perkhidmatan itu yang bermula jam 3 petang,” katanya.
Selain itu, beliau juga yakin bahawa inisiatif kerajaan itu mampu menarik lebih ramai rakyat untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu. – JURNAL
Sumber: BH Online