Baru-baru ini tular video seorang warga Rohingya yang kesal dan tidak berpuas hati dengan kelantangan aktivis dikenali sebagai Mohd Sophian kerana menegur salah laku etnik tersebut di Malaysia.
Selain meluahkan kekecewaan, pemuda tersebut turut meminta Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang berkenaan supaya tidak masuk campur urusan warga asing.
Mencetus kemarahan rakyat tempatan, sekali gus dihujani kecaman, klip berkenaan pantas tersebar sehinggakan ruang komennya diserang kata-kata cacian.
Bagaimanapun, lelaki terbabit telah memuat naik video permohonan maafnya di laman TikTok peribadinya susulan ia semakin hangat diperkatakan sehingga ke hari ini.
Menerusi video tersebut, warga Rohingya terbabit memohon maaf atas segala keterlanjuran katanya dalam video terdahulu.
“Maafkan saya ustaz (Mohd Sophian), saya rasa bersalah dengan ustaz dan semua orang Melayu, saya minta maaf dengan kesalahan yang pernah saya lakukan.
“Saya tidak sepatutnya masuk campur dalam perkara itu, saya minta maaf,” ujarnya. – JURNAL