Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan berangkat melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Batu 3 dan Dewan Syarifah Azizah, Kluang, Johor, pada Rabu.
Lawatan Tunku Ismail turut diiringi Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Tunku Ismail.
Tunku Ismail turut berkenan menyampaikan sumbangan kurniaan bantuan kepada mangsa banjir di PPS di daerah Kota Tinggi, Johor dilanda banjir akibat kenaikan paras air mendadak.
Bantuan kurniaan diagihkan kepada 13 PPS membabitkan 259 buah yang secara keseluruhan adalah seramai 1,159 orang penduduk.
Penyampaian itu disempurnakan oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).
Setakat jam 7 malam Rabu, jumlah terkini mangsa banjir yang melanda enam negeri terus meningkat kepada 11,918 orang daripada 3,389 keluarga.
Johor terus mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 11,241 orang dengan 108 PPS dibuka di negeri itu.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), secara keseluruhan, enam negeri terjejas dengan bencana itu, iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak dan Sabah dengan keseluruhan 126 PPS sudah dibuka. – JURNAL
Sumber: BHOnline