Penerbit eksekutif filem Anwar, The Untold Story Zulkiflee Anwar Haq atau lebih dikenali Zunar mengangkat kisah perjalanan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi korupsi ke layar perak.
Zunar ketika ditemui JURNAL berkata, banyak kisah yang dipaparkan menerusi filem tersebut masih belum pernah didedahkan kepada masyarakat.
Menurutnya, kisah yang difilemkan juga adalah kisah benar yang dicatatnya sejak tahun 1998 dan bukan cerita rekaan.
“Pada tahun 1998, saya mula mencatat peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Saya catat satu-satu, dan tidak keterlaluan jika saya katakan filem ini diangkat dari versi DSAI.
“Jadi latar masa filem ini adalah berdasarkan cabaran yang dihadapi oleh Anwar dalam menangani isu rasuah di negara ini dari tahun 1993 ke 1998, iaitu ketika dilantik sebagai Menteri Kewangan sehingga dipecat dan dipenjarakan.
“Menerusi cerita ini, penonton akan disajikan dengan plot kehidupan beliau (DSAI) yang diketahui oleh orang ramai, dan juga cerita terpendamnya yang ramai masyarakat tidak tahu akan dibawa dalam karya ini seperti kehidupan beliau semasa dalam penjara.
“Jadi, bagi menjayakan pembikinan karya ini, ramai individu yang telah kita temu bual termasuk juga mendapatkan laporan tentang keadaan beliau (Anwar) sewaktu di penjara” katanya ketika majlis pelancaran filem tersebut di Hotel W Kuala Lumpur, pada Rabu.
Dalam pada itu Zunar berkata, ilham untuk menghasilkan filem biopik mengenai Anwar sudah tercetus sejak tahun 2011, namun disebabkan beberapa kekangan, impian hanya sekadar angan-angan.
Bagaimanapun pada tahun 2021 ketika sedang mencari pengarah untuk kembali merealisasikan impiannya itu, sutradara terkenal Indonesia Viva Westi menghubungi Zunar menerusi Instagram dan bersedia memikul tanggungjawab.
“Keadaan ketika itu (1998) tidak mengizinkan kita untuk memilih pengarah di sini, ada macam-macam isu dan kekangan untuk menghasilkan filem biopik mengenai DSAI, antaranya tidak mengikut naratif pemerintah ketika itu, jadi saya fikir lebih mudah mengambil pengarah luar dari Malaysia.
“Jadi pada tahun 2021 Viva hubungi saya dan selepas beberapa pertemuan, kami mula mengatur semuanya termasuk mencari pelakon dan seterusnya menjalankan penggambaran di Indonesia.
“Waktu itu DSAI belum lagi dilantik sebagai Perdana Menteri dan kita pun tidak menyangka beliau akan menjadi Perdana Menteri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zunar berkata pihak penerbit Bianglala Entertainment sudah bersedia menerima maklum balas terutama daripada beberapa nama yang digambarkan sebagai antagonis menerusi filem terbabit.
“Kami sudah bersedia dan membincangkan mengenainya lebih awal. Kami bersedia menanggung risiko kerana, sudah pasti akan ada yang tidak suka apabila dirinya digambarkan sebagai antagonis.
“Tetapi, cerita yang kami bawakan ini cerita benar bukan yang direkayasa, jadi kami tidak takut,” katanya.
Selain itu beliau berharap, menerusi penerbitan karya itu dapat mengangkat semangat juang dalam kalangan rakyat Malaysia untuk memerangi rasuah.
Filem terbitan Anwar, The Untold Story yang dijangka ditayangkan sekitar Mei ini, menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Farid Kamil, Hasnul Rahmat dan Acha Septriasa. – JURNAL