Hanya kerana menegur supaya bunyi radio kereta diperlahankan, seorang pesara maut dirempuh pemandu yang bengang terhadapnya.
Anak kepada mangsa berusia 57 tahun tersebut berkata, bapanya meninggal dunia di Hospital Melaka pada pukul 2.04 petang kelmarin setelah 11 jam bertarung nyawa akibat kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.45 pagi Isnin.
Menurutnya, sebelum kejadian sekitar 12 tengah malam, dia terlihat dua lelaki berkenaan sedang minum minuman keras di dalam kereta jenis Perodua Axia di belakang sebuah restoran berdekatan Plaza Pandan Malim.
“Sekitar pukul 2.40 pagi, saya dan ayah terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi muzik yang terlalu kuat dari arah kawasan parkir di belakang plaza berkenaan yang mengadap rumah kami di Batu 3 1/2, Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga.
“Ayah kemudian pergi menegur mereka, namun dibalas dalam bahasa yang tidak difahami sebelum kedua-dua mereka beredar meninggalkan kawasan terbabit,” katanya ketika ditemu bual pemberita.
Tambahnya, 10 minit kemudian, kedua-dua lelaki berkenaan kembali semula ke kawasan berkenaan dan melakukan beberapa pusingan menaiki kereta sama sambil menguatkan lagi muzik sebelum beredar.
Namun katanya, mereka sekali lagi datang membuat bising selang beberapa minit kemudian membuatkan dia dan ayahnya terpaksa keluar untuk meminta kedua-dua lelaki berkenaan beredar.
Namun secara tiba-tiba kereta itu cuba merempuh saya tapi mujurlah saya sempat mengelak dan berlari ke arah belakang sebuah restoran 24 jam bangunan plaza berkenaan.
“Kereta itu kemudian berpusing dan menuju ke arah ayah yang tidak sempat mengelak membebabkannya hanya mampu berpaut di atas bonet dan terseret sejauh kira-kira 20 meter.
“Saya kemudian terlihat ayah terjatuh dan belakang kepalanya berlumuran darah mungkin akibat terhantuk pada tebing batu longkang sebelum kedua-dua lelaki itu terus memecut kenderaan meninggalkan lokasi,” katanya sambil menambah kejadian turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai berhampiran. – JURNAL