Kadar gaji dan upah penjawat awam akan dibincang semula setelah ‘kantung’ kewangan negara bertambah baik selain defisit kewangan negara dapat dikurangkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri mengakui beliau secara peribadi, tidak berpuas hati apabila melihat gaji dan upah semasa penjawat awam ketika ini, berbanding tugas serta komitmen yang diberikan.
Bagaimanapun, katanya, kadar gaji dan upah itu perlu dinilai berdasarkan kemampuan kewangan negara ketika ini.
“Kalau kantung bertambah baik, defisit dikurangkan, kita boleh (naikkan gaji serta upah). Sekarang bila saya tengok penjawat awam buat kerja baik, antaranya di negeri, kemudian hasil bertambah, proses itu (kantung negara bertambah baik) boleh dipercepat.
“Cuma untuk hari ini, saya fikir sukarlah. Itu nanti kita bincang dahulu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri dan Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, pada Selasa.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.
Semalam, Anwar meminta penjawat awam bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi negara terlebih dahulu sebelum isu membabitkan mereka, meliputi kos sara hidup, dapat ditangani.
Negara ketika ini berdepan hutang mencecah RM1.5 trilion dan defisit pada 5.6 peratus, yang membuatkan kerajaan tidak boleh bersetuju dengan desakan CUEPACS, termasuk berhubung kenaikan gaji penjawat awam kerana ia akan meningkatkan defisit negara.
Ia sebagai reaksi kepada tuntutan CUEPACS yang dilaporkan kecewa kerana Belanjawan 2023 dibentangkan Anwar pada Jumaat lalu, dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup yang dihadapi penjawat awam. – JURNAL
Sumber: BHOnline