Polis menahan dua lelaki tempatan berusia 31 dan 39 tahun kerana meragut seorang wanita sehingga mangsa mengalami kecederaan di Jalan Kelochor, Kota Bharu, Kelantan pada 16 Februari lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, kedua-dua suspek ditahan di Pasir Puteh, pada 6.30 petang pada Sabtu lepas, hasil risikan dan intipan dijalankan pihak polis.
“Susulan penahanan suspek, polis merampas sebuah motosikal yang digunakan sewaktu kejadian dan hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah, selain turut mempunyai rekod lampau kesalahan dadah.
“Kedua-dua suspek direman selama empat hari mulai Ahad, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, tular sebuah video menyaksikan wanita berusia 54 tahun berseorangan menunggang motosikal di Jalan Kelochor diragut dua lelaki yang datang dari arah belakang menaiki motosikal sehingga menyebabkan mangsa terjatuh. — JURNAL
Sumber: MAJORITI