Rata-rata rakyat di negara ini tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang ke atas beberapa pelajar sekolah menengah yang melakukan vandalisme baru-baru ini.
Kebanyakannya beranggapan bahawa hukuman mengarahkan para pelajar terbabit menjalani khidmat komuniti adalah terlalu ringan berbanding kesalahan yang telah mereka lakukan.
Perbuatan merosakkan harta sekolah yang merupakan milik awam sepatutnya dikenakan hukuman berat kerana tingkah laku kesemua pelajar sangat melampaui batas.
Justeru, tinjauan pendapat yang diutarakan pada minggu lalu mendapati, majoriti pembaca iaitu sebanyak 78.57 peratus mahu pihak berwajib mempertimbangkan semula hukuman berkenaan.
Impak jenayah vandalisme harus dipandang serius dengan menjatuhkan hukuman keras yang setimpal supaya dapat dijadikan pengajaran dan iktibar oleh masyarakat umum. – JURNAL