Polis berjaya menemui kepala model dan selebriti media sosial Hong Kong, Abby Choi, dua hari selepas menjumpai sebahagian anggota badannya di sebuah rumah di Kampung Lung Mei, di daerah Tai Po.
Pakar forensik menemui kepala mangsa dalam salah satu periuk sup di rumah berkenaan. Bekas suami mangsa bersama abang dan ibu bapanya, sudah ditahan berkaitan dengan pembunuhan itu.
Menurut laporan portal berita HK01, kepala itu ditemui dalam salah satu daripada dua periuk sup yang berada di rumah berkenaan.
Polis turut menemui pengisar daging, gergaji elektrik dan sebuah beg tangan milik Abby selain dua kaki wanita dalam peti sejuk.
Ketika polis menemui periuk sup itu, ia dilaporkan penuh dan terdapat daging cincang di dalamnya.
Bagaimanapun, ketika itu pihak berkuasa hanya boleh mengesahkan bahawa terdapat tisu manusia dan periuk itu, sebelum menghantarnya untuk ujian lanjut.
Forensik hari ini dilaporkan menemui kepala mangsa bersama tulang rusuk, dalam salah satu periuk.
Menurut laporan, tengkorak itu masih sempurna, namun dipercayai bahawa terdapat sekurang-kurangnya satu cubaan untuk menghancurkannya.
Rambut mangsa tidak lagi melekat pada tengkorak yang sudah dimasak itu.
Forensik juga menemui sejumlah kecil daging cincang, bersama lobak merah dan lobak hijau.
Lengan dan anggota badan mangsa dilaporkan masih hilang dan polis meneruskan pencarian untuk anggota badan yang lain hari ini.
Selain melakukan pencarian di Tanah Perkuburan Tseung Kwan O sejak 25 Februari lalu, mereka turut memeriksa longkang di Kampung Lung Mei.
Saudara bekas suami melaporkan bahawa dua saudara kepada bekas suami mangsa, Alex Kwong, 28, didakwa atas tuduhan membunuh.
Bapa Kwong berusia 65 tahun dan abangnya berusia 31 tahun didakwa atas tuduhan membunuh manakala Ibu Kwong yang berusia 63 tahun didakwa kerana mengganggu proses keadilan.
Kes itu akan didengar di mahkamah esok.
Menurut HK01, Kwong berada di hospital selepas mengadu tidak sihat selepas ditahan. – JURNAL
Sumber: Buletin TV3