Kenaikan peruntukan sebanyak 12.06 peratus kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mampu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pesawah, kata Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata secara keseluruhan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.39 bilion kepada KPKM bagi tahun ini iaitu kenaikan sebanyak 12.06 peratus berbanding RM4.81 bilion pada 2022.
Katanya ia sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memacu sektor agromakanan sebagai sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.
“Kementerian menyambut baik Belanjawan MADANI 2023 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri khususnya di atas keprihatinan terhadap sektor pertanian,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Belanjawan yang dibentangkan diyakini dapat mendepani cabaran-cabaran sektor agromakanan antaranya pengeluaran, bekalan dan pemasaran makanan, katanya.
Mohamad berkata pemberian subsidi dan insentif bagi industri padi dan beras berjumlah RM1.6 bilion yang diperuntukkan, dengan tambahan RM228 juta sumbangan tunai kepada pesawah serta perkongsian 30 peratus keuntungan bersih import beras kepada pesawah oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), adalah selaras dengan agenda keterjaminan makanan.
“Ini akan dapat membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pesawah,” katanya sambil menambah penggunaan automasi dan pendigitalan dalam sektor pertanian menyumbang kepada peningkatan kualiti pengeluaran dan produktiviti tenaga kerja.
Sehubungan itu, katanya inisiatif menerusi dana Skim Pembiayaan Agrofood, program Digital AgTech, Elaun Modal Dipercepatkan dan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal telah ditekankan untuk memperluas dan memperkasa penerimagunaan teknologi moden.
Selain itu, beliau berkata kolaborasi oleh semua pihak berkepentingan diperlukan bagi menjamin ekosistem agromakanan yang mampan.
“Saya menyambut baik agenda keterjaminan makanan merentas kementerian dan kerajaan negeri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dinyatakan dalam belanjawan ini,” katanya.
Beliau berkata inisiatif yang diumumkan iaitu penanaman jagung bijian, Jualan Rahmah, platform Cloud Kitchen dan program Kebun Komuniti dapat mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Katanya lagi kerajaan turut menggalakkan pelaburan swasta berskala besar berasaskan pertanian bagi meningkatkan pengeluaran makanan.
Sebagai peneraju dalam agenda keterjaminan makanan negara, Mohamad berkata KPKM komited melaksanakan inisiatif-inisiatif Belanjawan 2023 secara cekap dan berhemat demi kesejahteraan rakyat.
“Saya yakin inisiatif Belanjawan MADANI akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi selari dengan objektif dan sasaran di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0),” tambahnya. – JURNAL
Sumber: BERNAMA