Pempengaruh dikenali sebagai Cikgu Ayu memohon maaf selepas luahannya menjadi tular dan mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen.
Menerusi satu hantaran di aplikasi TikTok, dia tidak menyangka ramai individu terutama golongan ibu bapa yang membidas kenyataannya itu.
“Ya Allah, ramainya parents yang ada anak kecil terkesan. Saya mohon maaf pada semua yang terasa. Isu keluarga yang jeling tu bukan bujang ya, tapi satu family yang jeling.
“Yes, anak saya bukan jenis meragam yang kacau orang. Ada yang cakap saya tak cuba tenangkan (anak), tak bergilir dengan suami. Saya berulang kali bangun, keluar tenangkan anak.
“Orang boleh judge tapi orang tak nampak struggle saya bagi baby diam. Kakak dan Yayang just stay kat tempat diorang je. Yang baby 1 tahun 6 bulan kalau jegilkan mata pun dia tak faham.
“Kami tak tapau sebab ada satu je lagi makanan yang tak sampai sebab order tercicir. Last-last saya memang tinggalkan kedai makan dan tunggu dalam kereta,” tulisnya awal pagi tadi.
Dalam hantaran sama, Cikgu Ayu mengakui terkilan dengan sikap segelintir netizen yang tergamak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anak-anaknya.
“Saya minta maaf buat korang yang terasa dengan saya. Yang gelarkan anak saya binatang, moga kata-kata awak, awak dapat rasa nanti.
“Alhamdulillah, terima kasih semua nasihat yang stich dan untuk korang yang menaip tanpa sempadan, moga urusan kalian dipermudahkan.
“Yang mana kedai makan tak bagi kanak-kanak bising, insya-Allah beritahu saya kedai korang. Saya takkan masuk. Maafkan saya sekali lagi dan terima kasih yang bagi teguran. Saya terima dengan hati yang terbuka,” katanya.
Cikgu Ayu tampil membuat permohonan maaf selepas anak-anaknya juga terpalit menjadi mangsa cacian orang ramai di media sosial.
Terdahulu, Cikgu Ayu meluahkan rasa tidak puas hati apabila terdapat pelanggan yang kurang senang terhadap anak-anaknya yang
membuat bising di sebuah kedai makan.
Isu bertukar panas apabila wanita tersebut membuat kenyataan bahawa pelanggan lain sepatutnya membungkus sahaja makanan dan menikmati di rumah sekiranya berasa terganggu dengan ragam kanak-kanak.
Susulan itu, ramai yang memberikan pandangan termasuk beberapa selebriti seperti Michael Ang dan Betty Rahmad. – JURNAL