Satu usul tergempar dikemukakan oleh Ahli Parlimen pembangkang meminta agar Dewan Rakyat membahaskan mengenai permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.
Usul tersebut dikemukakan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 18(1).
Jelas beliau, kerajaan perlu segerakan pengeluaran KWSP secara bersasar kerana keadaan semasa yang terdesak termasuk peningkatan harga barangan serta kos sara hidup.
“Ada yang terpaksa menjual harta hingga tinggal sehelai sepinggang. Maka, menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen untuk mengotakan janji membantu rakyat yang kesempitan.
“Oleh demikian, saya rasa isu ini perlu dibincangkan kerana Kerajaan Perpaduan boleh mengambil langkah serupa seperti dilakukan ketika era pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu membenarkan pengeluaran KWSP,” hujahnya di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menolak usul berkenaan dan mencadangkan agar Shahidan mengemukakan semula semasa pembentangan Belanjawan 2024.
Sementara itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) bersetuju dengan usul diutarakan Shahidan dan minta kerajaan pertimbangkan semula usul tersebut.
“Walaupun minggu lepas Yang Berhormat Pontian (Datuk Seri Ahmad Maslan) mengatakan kerajaan tidak akan mempertimbangkan, tetapi tolong, yang kita mohon adalah pengeluaran KWSP bersasar.
“Hari ini ada 13.1 juta atau lebih kurang 51 peratus rakyat Malaysia yang mempunyai simpanan di bawah RM10,000 dan mungkin baru bekerja.
“Bagaimana pula pencarum yang bekerja lebih 20 tahun dan mungkin simpanan mereka ada puluhan atau ratusan ribu?Takkan tak boleh dipertimbangkan sebab ini duit mereka,” soalnya.
Minggu lepas, Muhyiddin menggesa kerajaan agar mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya itu kehendak rakyat.
Menurutnya, kerajaan sewajarnya memberi tumpuan penuh kepada usaha-usaha untuk memajukan ekonomi negara dan memelihara kebajikan rakyat.
Begitu pun, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan tidak lagi membenarkan pengeluaran KWSP itu memandangkan median simpanan 8.1 juta ahli KWSP membabitkan semua kaum direkod menurun 50 peratus iaitu daripada RM16,600 pada 2016 kepada RM8,100 bagi tahun lalu. – JURNAL
Sumber: AWANI