Beberapa pelajar dari sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang yang merosakkan peralatan dan fasiliti awam akan dilibatkan dalam khidmat komuniti.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas pihak sekolah membincangkan isu berkenaan bersama waris-waris pelajar semalam.
“Mereka akan terlibat dalam khidmat komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab serta langkah didikan akhlak.
“Pada masa sama, pencegahan segera akan diambil bagi memastikan kes sama tidak berulang lagi.
“JPN Pulau Pinang amat kesal akan kejadian tersebut dan akan memastikan isu ini diberi perhatian yang serius oleh pihak sekolah,” memetik kenyataan itu.
Terdahulu, tular dua buah video di media sosial memaparkan beberapa pelajar bertindak menendang pintu bilik darjah dan tandas sehingga pecah, malah serta merosakkan kerusi meja serta kipas sambil bergelak ketawa.
Video berkenaan lantas mendapat reaksi negatif warganet yang menyifatkan tindakan mereka tidak mencerminkan didikan ilmu yang ditimba di sebuah institusi pendidikan.
Sementara itu, JPN turut memaklumkan bahawa nilai kerugian kerosakan harta benda masih dalam siasatan. – JURNAL
Sumber: UTUSAN