Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengesahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah selesai menjalankan siasatan kes vandalisme sekumpulan pelajar di sebuah sekolah di Pulau Pinang.
Fadhlina berkata, siasatan telah dijalankan pada 18 Februari lepas, selepas pelajar dan ibu bapa terbabit dipanggil serta melakukan intervensi oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah.
Beliau berkata kaunseling telah diberikan kepada pelajar terbabit dan KPM akan melihat hasil kaunseling untuk mengetahui punca pelajar tersebut bertindak sedemikian.
“Ini anak-anak kita, jangan kita putus asa. Ramai yang marah melihat (kejadian) itu tetapi mereka (pelajar) mesti diberi peluang didikan, teguran dan kaunseling berterusan.
“Isu ini harus ditangani bersama dan melakukan tugas sebagai ibu bapa, guru dan kaunselor untuk memastikan (pelajar) tidak ulangi perbuatan itu,” katanya.
Fadhlina berkata demikian ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi sempena hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2022, pada pagi Isnin.
Terdahulu tular rakaman video aksi sekumpulan pelajar merosakkan harta benda sekolah seperti menendang pintu tandas sehingga berlubang, menghempas kerusi plastik ke lantai sehingga pecah dan membengkokkan kipas.
Pelajar-pelajar tersebut melakukan aksi tersebut kononnya untuk meraikan hari terakhir persekolahan bagi semester 2022/2023. – JURNAL