Pesta Kopi kembali ke Kuala Lumpur selepas sambutan luar biasa peminat minuman itu dalam tiga acara iaitu, Pesta Kopi Pulau Pinang, Pesta Kopi Melaka dan Pesta Kopi Extended pada tahun lalu.
Bertempat di Lanai Matic, Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang Pesta Kopi Kuala Lumpur 2023 akan diadakan pada 4 dan 5 Mac depan.
Menariknya lebih 70 usahawan dari seluruh negara akan mengambil bahagian untuk edisi kali ini dimana lebih 80% darinya merupakan jenama kopi tempatan.
Selain kopi, terdapat jualan makanan ringan dan manisan istimewa yang pastinya mengikut citarasa pengunjung, terutama kaki kopi.
Selain dapat menikmati pelbagai produk kopi yang dijual, pengunjung juga dapat melihat sendiri demonstrasi pelbagai cara penyediaan kopi seperti proses menyeduh dan memilih pelbagai jenis biji kopi.
Menarik lagi, turut diadakan pertandingan seni latte yang akan dikendalikan oleh Sekolah Kopi, sebuah komuniti yang mendidik orang ramai tentang pengendalian serta pelbagai cara penyediaan kopi.
Jika sebelum ini, Pesta Kopi lebih menekankan tentang budaya keusahawanan dan minat orang ramai terhadap kopi, kali ini dengan kerjasama Pusat Pelancongan Malaysia, diharap dapat meraikan serta menyedarkan orang ramai tentang tingginya potensi ‘Pelancongan Kopi’ atau ‘Coffee Tourism’.
Sekaligus merancakkan pelancongan domestik negara menerusi kopi.
Terdapat juga pelbagai aktiviti menarik sepanjang pesta berlangsung antaranya, persembahan muzik dan kebudayaan, pertandingan di antara 60 barista tentang seni latte dan banyak lagi.
Pesta Kopi Kuala Lumpur 2023 anjuran Tempatan Fest ini disokong Mister Coffee dan Magnolia Barista Milk sebagai penaja utama. – JURNAL