Cef selebriti, Salt Bae berjanji akan menyediakan 5,000 hidangan makanan sehari kepada mangsa gempa bumi kuat di Turkiye.
Dia yang berusia 39 tahun menyifatkan makanannya sebagai ‘perkhidmatan paling penting’ kerana beribu-ribu penduduk hilang tempat tinggal selepas dua gempa bumi kuat melanda negara tersebut dan Syria pada 6 Februari lalu.
Angka kematian akibat bencana itu meningkat lebih 35,000 orang semalam, manakala ribuan masih tertimbus di bawah runtuhan dan masa semakin suntuk untuk mengeluarkan mereka.
Dalam pada itu, cef yang dahagakan publisiti itu pernah diselar kerana telatahnya pada penghujung perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia di Emiriyah Arab Bersatu akhir tahun lalu.
Ketika itu, dia dibenarkan masuk ke padang dan berswafoto bersama bintang Argentina, Lionel Messi serta bergambar dengan trofi kejohanan tersebut.
Salt Bae yang nama sebenarnya Nusret Gokce telah mengatur untuk menghantar dapur bergerak ke zon bencana gempa bumi.
Kemusnahan di Turkiye itu adalah akibat gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter diikuti dengan gempa kedua bermagnitud 7.7. – JURNAL
Sumber: Kosmo