Sebaik kerajaan mengumumkan cukai jalan tidak lagi wajib untuk dipaparkan pada cermin kenderaan, kini timbul pula beberapa isu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, terdapat segelintir pihak berdepan masalah untuk memuat turun aplikasi MyJPJ.
“Sebenarnya, aplikasi tersebut tidak wajib dimuat turun oleh pemilik kenderaan kerana penguat kuasa boleh periksa status cukai jalan yang tersimpan dalam sistem menggunakan gajet tersedia.
“Prosedur memuat turun MyJPJ hanyalah satu opsyen bagi mendapatkan salinan cukai jalan dan lesen memandu dalam bentuk digital,” tambahnya.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, beliau juga menerangkan bahawa data mengenai cukai jalan digital boleh diakses menggunakan alat peranti atau gajet penguatkuasaan.
“Jadi, pemandu atau pemilik kenderaan tidak akan disaman sekiranya mereka gagal menunjukkan cukai jalan digital masing-masing,” ulasnya.
“Selain itu, orang ramai juga masih perlu membayar cukai jalan dan lesen memandu jika sudah tamat tempoh,” katanya.
Menurutnya, warga emas yang tidak memiliki telefon pintar dan capaian Internet masih boleh mendapatkan pelekat cukai jalan dan lesen fizikal dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekiranya perlu.
Menerusi hantaran sama, Anthony berkata jika kereta dipandu oleh pemilik, cukai jalan digital boleh dicetak dan disimpan dalam kereta. – JURNAL