Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyokong tindakan penggantungan yang dikenakan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) ke atas pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn.
Beliau, berkata tindakan penggantungan ke atas pemain berkenaan adalah tepat pada masanya kerana komen berbaur perkauman tidak mempunyai tempat dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
“Rasa hormat antara satu sama lain adalah asas paling penting kepada masyarakat kita dan sebagai seorang pemain hoki kebangsaan Hanis harus bertanggung jawab di atas komen berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Ahmad Faizal bagaimanapun berharap KHM dan MSN memberi sokongan yang bersesuaian terhadap Hanis agar tidak mengulangi perbuatan sama.
“Tempoh kerjaya sebagai atlet biasanya singkat, jadi diharap dia mendapat sokongan yang diperlukan daripada MSN dan KHM untuk mengelakkan kesilapan yang sama berulang,” katanya.
Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu, berkata komen memecah belahkan boleh disebarkan dengan mudah di seluruh platform media sosial.
“Asas masyarakat Malaysia adalah berdasarkan rasa hormat antara satu sama lain, tanpa mengira perbezaan fahaman politik, bangsa dan agama. Biar pengalaman Hanis menjadi pengajaran kepada kita semua,” katanya.
Kelmarin, Jawatankuasa Siasatan MSN dan KHM menggantung Hanis daripada mewakili negara pada Sukan SEA Kemboja, Mei depan.
Tindakan itu dibuat selepas Hanis didapati bersalah selepas memuatnaik ciapan komen yang berbaur perkauman berhubung satu konsert artis dan komposer dari India, AR Rahman, baru-baru ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagaimanapun berkata Hanis boleh merayu kepada Jawatankuasa Siasatan yang dibarisi oleh panel daripada MSN dan KHM. – JURNAL