Pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn boleh mengemukakan rayuan terhadap hukuman penggantungan terhadap dirinya bagi membolehkan dia menyertai skuad kebangsaan termasuk ke Sukan SEA Kemboja pada Mei ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pemain berusia 27 tahun itu boleh merayu kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal.
“Ini adalah siasatan bersama MSN and KHM, jadi ini adalah hasil penemuan mereka dan cadangan keputusan sudah pun diambil. Jadi ini adalah keputusan mereka putuskan, dan kita kena hormatinya.
“Sama ada hendak merayu ataupun tidak, dia (Hanis) boleh berjumpa dengan Datuk Shapawi Ismail atau Datuk Seri Subahan Kamal tetapi itu adalah keputusan yang diumumkan semalam dalam kenyataan media,” katanya mengadakan kunjungan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, baru-baru ini.
Semalam, Jawatankuasa Siasatan MSN dan KHM mendapati bahawa Hanis memuatnaik ciapan komen yang berbaur perkauman berhubung satu konsert artis dan komposer dari India, AR Rahman, baru-baru ini.
Sehubungan itu, jawatankuasa mendapati Hanis bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain.
Hanis juga didapati bersalah kerana ciapan komen yang boleh disalah erti atau menimbulkan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak lain.
Sebagai pemain hoki negara, Hanis didapati bersalah kerana telah membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan KHM yang jelas melanggar
kod etika KHM.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Siasatan memutuskan untuk KHM tidak mempertimbangkan Hanis dari mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Kemboja 2023.
Pihak KHM akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh berkenaan.
Sumber: BHOnline