Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diarah memasarkan sayur ke kawasan yang mengalami kekurangan bekalan ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pihaknya sudah mengarahkan FAMA untuk mengenal pasti kawasan yang terjejas.
“Kita arahkan FAMA melihat kawasan yang berlaku kekurangan supaya kementerian dapat menggerakkan segera jentera sedia ada untuk kita pasarkan bekalan sayur.
“Sekarang, masalah telur dan ayam agak reda tetapi datang pula masalah sayur.
“MAFS juga membuat kajian data supaya tempat yang berlebihan akan dapat menampung atau dapat membekalkan sayur ke kawasan yang kurang, sekali gus masalah berkenaan dapat diatasi dengan segera,” katanya selepas melawat Loji Pemprosesan Sarang Burung di Taman Perindustrian Pusat Bandar Puchong, semalam.
Mohamad Sabu mengulas isu peningkatan harga sayur disebabkan kekurangan bekalan di seluruh negara terutama di Melaka.
Sementara itu, ditanya mengenai bekalan bahan mentah sempena Ramadan, Mohamad menegaskan bahan mentah lain masih mencukupi di pasaran dan harga masih terkawal.
“Cuma sayur kadang-kadang harga naik terlalu tinggi, kadang-kadang turun, tetapi secara umum masih dapat dikawal, termasuk bekalan telur bagi keperluan musim Ramadan juga stabil.
“Kita juga sedang melihat masalah bekalan daging menjelang raya kerana ramai orang buat kenduri di masjid pada Ramadan.
“Jadi, keperluan bekalan daging perlu dipertingkatkan pada Ramadan sampai ke Hari Raya Aidilfitri,” katanya. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE